11 November 2013 - 20:30
Peringatan Asyura penting untuk seluruh warga Mesir

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Pemimpin Syiah Mesir, Ahmad Rasim al-Nafis menegaskan bahawa menghidupkan peringatan kesyahidan Imam Husain (a.s) atau Asyura merupakan sesuatu yang tidak khusus untuk Syiah sahaja, bahkan ianya penting bagi seluruh warga Mesir bagi memadam fitnah yang dicetuskan oleh golongan pelampau agama.

Rasim menambah, setiap warga Mesir berniat menyambut Asyura dan mereka akan melaksanakannya samada Syiah atau aliran lain. Sehinggakan golongan ateis sekalipun sekiranya hendak menyambutnya dalam bentuk folklor, maka ia dapat menghidupkan peringatan kesyahidan Imam al-Husain sebagai sebahagian dari sejarah.

Menurutnya lagi, peringatan tersebut akan disempurnakan dalam bentuk perhimpunan secara terang-terangan. Namun akan wujud juga kumpulan-kumpulan kecil yang menyambutnya secara rahsia kerana khuatir terhadap serangan militan terutama sekali Salafi. Sementara itu gambaran Syiekh Hasan Shehata masih dikenang di minda masyarakat, beliau akan menjadi simbol kegembiraan bagi sambutan ini walaupun bercampur baur dengan perasaan takut dan curiga terhadap sebarang peristiwa yang bakal terjadi.

Al-Nafis meminta kementerian agama dan Syeikh Al-Azhar berucap di hadapan rakyat Mesir dan menyeru mereka menghindari keganasan di samping mengiktiraf Syiah sebagai 'muslimin biasa' sebagaimana umat Islam lain di Mesir, di mana mereka juga mempunyai hak seperti orang Islam yang lain.

Rasim juga menerangkan bahawa pemerintahan Hosni Mubarak dahulu mengizinkan sambutan hari kelahiran Sayyidah Zainab, sementara bekas presiden Dr. Mursi pula melarangnya. Beliau turut meminta kerajaan pimpinan Perdana Menteri Hazem Abdel Aziz Al Beblawi meninjau lebih jauh tentang masalah ideologi yang dipergunakan untuk menjadi stimulasi perseteruan antara berbagai penganut mazhab sehingga membawa kepada pertumpahan darah.